2/24/2010

Keterlupaan.. satu nikmat?

Salam buat semua yang masih diberi kesempatan untuk menatap catatan ini. Terlalu lama ruangan ini tak dijengah.. mungkin kerana terlalu sibuk dan mungkin juga kerana terlupa..
Terlupa dan keterlupaan adalah satu masalah besar dalam kehidupan kita. Banyak sekali perancangan terbengkalai kerana terlupa. Kerugian besar juga bakal menjelma kerana terlupa. Peluang besar pun berlalu semata-mata kerana terlupa. Maka lupa dan keterlupaan adalah musuh kita.
Tanpa kita sedari, keterlupaan sebenarnya juga merupakan nikmat dalam hidup. Andainya kita tidak dibekalkan dengan sifat lupa, maka kita bakal gila memikirkan persoalan hidup. Terlalu banyak bebanan yang perlu kita tanggung dalam tengkorak kepala kita yang terlalu kecil. Setiap masalah yang kita hadapi akan kekal dalam kepala setiap saat dan mampu membakar otak. Sel-sel otak terpaksa berkerja keras untuk menampung stor ingatan terhadap setiap masalah dan maklumat yang kita terima. Satu bencana besar bakal berlaku dalam kumpulan sel-sel tersebut.
Lantaran itu, Allah yang Maha Pengasih telah membekalkan kita dengan sifat lupa. Dengan adanya sifat lupa, kita mampu mengurangkan masalah tekanan terhadap sel-sel otak. Malah dalam ajaran Islam sendiri, keterlupaan tidak dianggap dosa.
Bersyukurlah apabila kita terlupa sesuatu kerana itu mampu mengurangkan tekanan otak.
Sesungguhnya mengingati apa yang kita lupa itu ada kalanya lebih mudah dari melupakan apa yang kita ingat.
Dan kegagalan melupakan sesuatu itu adalah hukuman yang berat untuk ditanggung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan