INDAHNYA SAINS


SAINS DAN TEKNOLOGI SERTA TAFSIRANNYA...



1. Tabulate responses from professionals (e.g. physics teacher, Mathematics teachers, history teacher, engineer, administrator etc) of different educational backgrounds on the definition or description of “science.”  An example of how the tabulation might look like is given below. You are free to come up with your own.

Apakah Sains yang sebenarnya  ? Mungkinkah kita akan mendapat jawapan yang berbeza jika soalan yang sama diajukan kepada golongan yang berbeza? Bagi menyiapkan tugasan ini, soalan yang sama telah diajukan kepada beberapa golongan profesional yang berbeza bidangnya.
            Berikut adalah beberapa pandangan pelbagai responden yang ditemui.

Bil
Responden
Respon
1
Guru  Sains
 Sains adalah satu bidang yang merangkumi pengetahuan, kemahiran, sikap saintifik dan nilai murni. Ia mengutamakan kaedah inkuiri dan penyelesaian masalah. Hasil kajiannya menjadikan hidup lebih selesa.
2
Guru Agama.
 Sains adalah satu bidang yang sentiasa berkembang. Ia juga kerap membuktikan kekuasaan Allah. Penemuan baru dalam bidang ini seharusnya menjadikan seorang manusia itu lebih beriman. Banyak penemuan baru dalam Sains  yang telah diceritakan Allah dalam Al-Quran 1400 tahun dahulu.
3
Guru Fizik
 Sains merupakan satu proses yang
mengutamakan kaedah inkuiri dan penyelesaian
masalah.  Ruang litup bidang ilmunya sangat luas, mencakupi alam hidup dan bukan hidup. Kajiannya melibatkan pembuktian empirikal atau sebaliknya. Yang pasti, ia membawa banyak kebaikan dalam hidup kita.
4
Guru Bahasa
 Sains adalah satu bidang yang mengkaji sesuatu bahan, fenomena, perilaku, kejadian dan sebagainya secara saintifik dan diakui kebenarannya melalui pembuktian nyata.
5
Pengetua sekolah
Satu bidang ilmu yang mengkaji tentang sesuatu berdasarkan  disiplin tertentu seperti Biologi, Kimia dan Fizik, bagi membatu perkembangan teknologi.

            (a) Note the similarities and differences of the answers given by each respondent and compare them with the definitions provided in this unit.

Berdasarkan pendapat dan pandangan yang diterima, bolehlah kita simpulkan bahawa orang yang berlainan akan memberikan respons yang berbeza. Respons yang diterima nampaknya terlalu umum. Ini adalah wajar kerana walaupun mereka adalah golongan profesional, namun mereka memandang  adalah dari sudut pandangan bidang masing-masing.  Sebagai contoh, pandangan seorang guru Sains  adalah wajar berdasarkan maksud  yang disampaikan melalui Huraian Sukatan Pelajaran Sains  sekolah. Justeru itu tidak menghairankan jika mereka berpendapat bahawa Sains adalah satu bidang ilmu dengan disiplin yang tertentu seperti nilai murni, sikap saintifik, kemahiran dan pengetahuan sahaja. Pandangan ini masih benar walaupun terlalu umum.
            Bagi seorang guru agama pula, beliau akan cuba mengaitkan Sains dengan agama. Jelas apabila beliau menyatakan bahawa banyak penemuan Sains masa kini telah diceritakan oleh Allah di dalam Al Quran 1400 tahun dahulu. Ini tidak dapat dinafikan  dan sebagai contohnya  perhatikan ayat di bawah:
....Dan Kami telah menurunkan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia....Surah al-Hadid;25.
Perkataan 'diturunkan' khususnya digunakan untuk besi dalam ayat di atas difikirkan mempunyai satu pengertian metaforik untuk menerangkan bahawa besi diberikan untuk faedah kegunaan umat manusia. Tetapi apabila kita mempertimbangkan pengertian literalnya, perkataan ini akan bermaksud 'secara fizikal diturunkan dari luar angkasa', kita menyedari bahawa ayat ini menggambarkan satu keajaiban saintifik yang sangat-sangat signifikan.

Ini adalah kerana penemuan astronomi moden telah menyingkap bahawa besi yang wujud dalam dunia ini berasal dari bintang-bintang gergasi di luar angkasa.

Unsur-unsur berat dalam alam semesta adalah dihasilkan di dalam nuklid bintang besar. Sistem solar kita, bagaimanapun, tidak mempunyai struktur sesuai untuk menghasilkan besi baginya. Besi hanya dapat dihasilkan dalam bintang yang lebih besar daripada matahari, di mana suhu mencecah beratus juta darjah. Apabila amaun besi melebihi peringkat tertentu dalam sebuah bintang, bintang ini tidak dapat lagi menampungnya, dan akhirnya ia meletup dalam satu letupan yang dipanggil 'nova' atau 'supernova'. Sebagai satu hasil dari letupan ini, meteor yang mengandungi besi berserakan ke seluruh alam semesta, dan mereka bergerak melalui ruang di angkasa sehingga ditarik oleh daya graviti sesuatu jasad di cakerawala.

Fenomena ini menunjukkan bahawa besi tidak dihasilkan di dalam bumi, tetapi dibawa dari bintang-bintang yang meletup dalam angkasa melalui meteor, dan telah 'diturunkan ke dalam bumi'. Dalam cara yang persis dengan apa yang dinyatakan dalam ayat; ianya jelas bahawa fakta ini tidak dapat diketahui secara saintifik ketika Al-Quran diwahyukan.
            Ini jelas menunjukkan bahawa penemuan  Sains seharusnya menjadikan manusia lebih beriman.
            Bagi guru Fizik yang terlibat secara langsung dengan Sains pula menganggap Sains adalah satu proses dengan kaedah tertentu. Melibatkan inkuri penemuan dan pembuktian saintifik atau tanpa pembuktian dalam proses tersebut. Memang ada kalanya sesuatu teori itu gagal dibuktikan secara saintifik namun diterima sebagai kebenaran. Sebagai contoh adalah soal roh dan jasad. Batasan antara hidup dan mati hanyalah dibuat berdasarkan sesuatu fenomena sahaja, seperti nadi contohnya. Tidak terdapat sebarang bukti saintifik  menunjukkan bahawa roh telah meninggalkan jasad pada saat kematian tersebut.
            Bagi seorang pentadbir seperti Pengetua pula adalah wajar melihat  Sains adalah subjek tertentu yang diajarkan di sekolah.
            Namun begitu, jelas bahawa semua responden mempunyai persamaan pendapat iaitu  Sains menjadikan hidup lebih bahagia. Mereka beranggapan bahawa Sains mampu menjadikan hidup lebih mudah dan selesa.
            Jika dibandingkan pendapat semua responden dengan definisi  yang diberikan dalam modul, terdapat sedikit persamaan dan perbezaan. Ini kerana definisi di dalam modul lebih terperinci iaitu Sains merupakan pengetahuan tersusun yang berkaitan dengan sesuatu fenomena semula jadi dan pengajian rasional berkaitan hubungan antara konsep-konsep di mana fenomena diperlihatkan. Dalam modul juga secara umumnya  ditakrifkan  sebagai “Sains adalah merupakan bahagian utama pengetahuan yang diperoleh melalui kaedah pemerhatian secara empirikal”  “Bahagian utama pengetahuan” itu untuk menunjukkan ada beberapa penyusunan bagi bahagian-bahagian pengetahuan.
Persamaan pendapat pula adalah pada bahagian “ seharusnya memudahkan kehidupan manusia”. Namun begitu, terpaksa juga diakui bahawa tidak semua penemuan  membawa kebaikan kepada semua pihak. Barangkali ada pihak yang untung dan yang lebih untung. Begitu juga sebaliknya.
            Dalam modul juga dijelaskan bahawa  Sains adalah bersifat dinamik dan tidak statik.


Compare the answers given by the respondents with the definitions of science in textbooks of (i) physical science, of (ii) social science, (iii) in dictionaries and encyclopedias.

            Maksud Sains jika dirujuk daripada buku teks sains adalah “ satu susunan ilmu pengetahuan yang sistematik tentang alam iaitu segala benda dan kejadian”. Susunan ilmu pengetahuan ini sentiasa berkembang dari masa ke semasa. Dijelaskan juga bahawa susunan pengetahuan itu diperoleh daripada eksperimen, pemerhatian dan kesimpulan. Secara umumnya bolehlah dikatakan takrif sains yang diberikan oleh responden adalah sejajar dengan takrif sains daripada teks sains sendiri. Kesan daripada sains itu tidak pula dianggap sebagai sebahagian dari maksud sains. Sama ada sains membawa kebaikan atau sebaliknya, tidak termasuk dalam takrif sains seperti yang diberikan oleh kebanyakan responden. 
Maksud sains jika dirujuk pada kamus bahasa pula membawa maksud “ ilmu pengetahuan yang teratur ( sistematik ) yang boleh diuji kebenarannya”. Maksud yang diberikan amat umum bentuknya. Boleh kita katakan bahawa setiap ilmu pengetahuan yang teratur dan boleh diuji kebenarannya sebagai sains. Matematik juga merupakan sains kerana ia juga merupakan ilmu yang teratur dan dapat dibuktikan kebenarannya. Begitu juga dengan disiplin ilmu yang lain selain daripada agama. Ini kerana dalam ajaran agama terdapat persoalan-persoalan samiyat atau terlindung dan sukar dibuktikan kebenarannya. Persoalan ini hanya perlu diyakini kebenarannya tanpa pembuktian. Contohnya persoalan dosa dan pahala, syurga dan neraka, alam barzakh dan sebagainya. Persoalan sebegini tidak mungkin dapat dibuktikan di alam nyata ini, melainkan hanyalah wajib diyakini tanpa ragu.
Istilah sains sering memberikan pelbagai maksud dan huraian jika ditanyakan kepada responden yang berlainan. Namun begitu, mereka masih tetap memberikan sedikit persamaan dalam setiap takrif mereka, iaitu “pengetahuan yang teratur” dan “dapat dibuktikan kebenarannya”

1c.
On the basis of our working definition of science, would you consider the following as a science: history; linguistic; psychology; political science; sociology; economics? Give your reasons based on the framework of arguments given in the chapters 1 and 2 of the unit 1.

Adakah sejarah, bahasa, psikologi,  politik,  sosial dan ekonomi juga merupakan sebahagian dari Sains ? Jika dilihat maksud  yang diterangkan di dalam modul, pasti kita mengakui bahawa disiplin tersebut juga merupakan sebahagian daripada Sains.  Sains didefinisikan sebagai “merupakan bahagian utama pengetahuan yang diperoleh melalui kaedah pemerhatian secara empirikal”. Secara empirikal bermaksud pemerhatian yang dibuat berdasarkan eksperimen dan pengalaman secara praktikal.
Sejarah bermaksud satu peristiwa masa lalu yang bermakna dan dapat memberikan iktibar atau pengajaran kepada kehidupan manusia pada masa hadapan. Ciri-cirinya pula ialah : ia perlulah bermakna, mempunyai fakta yang tepat dan benar serta mempunyai sebab dan akibat.
Perkembangan dan kajian dalam bidang sejarah memerlukan pemerhatian dibuat secara empirikal. Ia memerlukan uji kaji dan penilaian yang mempunyai autoriti. Sejarah tidak dibuat berdasarkan andaian semata-mata. Ia dikaji melalui disiplin yang tertentu. Ia juga bersifat sistematik dan dinamik. Sistematik kerana  kajiannya dan dinamik kerana hasil kajiannya. Penemuan baru dalam sejarah ada kalanya akan  membatalkan penemuan sebelumnya. Hasil penemuan sejarah juga boleh dibuktikan kebenarannya.
Bahasa juga berkembang dan tidak statik. Saban hari muncul perkataan - perkataan baru yang sebelum ini tidak pernah terfikir oleh kita. Perkataan metafora, empirikal dan statik mungkin tidak pernah digunakan pada zaman Hang Tuah, tetapi menjadi bahasa biasa sekarang. Kajian mengenainya mempunyai disiplin tersendiri. Ini membuatkan ia  bersistematik. Ini menyokong bahawa bahasa juga sebahagian daripada Sains .
Psikologi sudah tentu sebahagian daripada Sains . Kajian mengenainya melibatkan eksperimen dan pengalaman secara praktikal. Ia juga berkembang dari masa ke semasa. Keperluan psikologi dunia kini tidak sama lagi dengan keperluan sepuluh tahun yang lalu. Ia juga melibatkan penggunaan ubatan secara langsung yang terlibat dengan bahagian utama Sains tulen.
Begitu jugalah dengan  politik,  sosial dan ekonomi. Semua  ilmu tersebut mempunyai ciri-ciri Sains . Iaitu merupakan aktiviti manusia, mempunyai batas keupayaan, dibina atas autoriti dan berasaskan autoriti. Ia tidak statik dan sentiasa berkembang.
Kesimpulan yang boleh dibuat adalah Sains sangat luas cakupan bidangnya. Kebanyakan  ilmu yang dikaji manusia termasuk dalam Sains. Sains bukan hanya berlaku di dalam makmal biasa oleh seorang saintis biasa, tetapi seluruh dunia adalah makmalnya dan seluruh manusia adalah saintisnya.



2.  Tabulate responses from professionals (e.g. physics teacher, Mathematics teachers, history teacher, engineer, administrator etc) of different educational backgrounds on the definition or description of “technology.”   An example of how the tabulation might look like is given below. You are free to come up with your own.


No.
Responden
Respon maksud teknologi
1.
Profesor Kejuruteraan
Teknologi bermaksud penguasaan manusia membina dan menggunakan sesuatu alatan untuk memenuhi keperluan dan keselesaan hidup .
2
Guru Agama.
Teknologi bermaksud penggunaan sesuatu alatan bagi memudahkan sesuatu kerja. Penggunaan kayu sugi juga merupakan satu teknologi bagi membersihkan gigi.

Guru Fizik
Teknologi ialah kemampuan pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Penghubung antara hasil kajian sains dengan masyarakat.

Guru Bahasa
Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan gadget menggunakan prinsip  dan proses terkini bagi memudahkan kerja seharian.

Guru Ekonomi
Teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah.

Pengetua sekolah
Kemajuan yang dicapai hasil daripada pengetahuan kita terhadap ilmu Sains. Melibatkan pembinaan bahan untuk keselesaan hidup.




(a) Note the similarities and differences of the answers given by each respondent and compare them with the definition provided in the chapters of unit 2.

Jika dilihat respon dari responden, kebanyakan mereka berpendapat teknologi adalah kemahiran mencipta dan seterusnya menggunakan sesuatu bahan, alat, mesin, dan proses bagi kegunaan manusia. Biasanya hasil teknologi membawa kebaikan kepada semua.
Profesional dari bidang kejuruteraan   menganggap teknologi adalah kemampuan manusia membina alatan atau bahan bagi tujuan memenuhi keperluan. Tidak dinyatakan secara jelas perkaitan pembinaan bahan atau alatan dengan sains.
Respon yang sama juga diberikan oleh golongan  profesional dari latar yang berbeza. Kebanyakan mereka tidak mengaitkan pembinaan dan penggunaan bahan atau alatan dengan sebarang disiplin ilmu, sama ada dari Sains, Matematik, Biologi dan sebagainya.
 Namun begitu, ada kalanya teknologi membawa kebaikan kepada satu pihak dan membawa keburukan kepada pihak yang lain. Sebagai contoh ialah penciptaan bom canggih hasil dari teknologi canggih. Negara pengeluar atau pengguna akan mendapat keuntungan dari segi pertahanan dan aliran wang, tetapi negara yang diserang atau mangsa mengalami kerugian besar kerana teknologi tersebut.
Teknologi juga dilihat sebagai penghubung antara dunia sains dengan masyarakat. Masyarakat tidak mendapat keuntungan secara langsung dari hasil penemuan sains tetapi hasil sains yang diterjemahkan ke bentuk konkrit memudahkan kehidupan kita. Proses menterjemahkan hasil penemuan sains ke bentuk konkrit itulah dikatakan teknologi.





(b) Compare the answers given by the respondents with the definitions of technology in textbooks of (i) physical science or engineering, of (ii) social science, (iii) in dictionaries and encyclopedias. In your own words describe the current relationships between science and technology. (e.g. Does technology really need modern science to progress?)

            Teknologi jika dirujuk pada teks Sains membawa maksud penggunaan atau pemanfaatan ilmu pengetahuan sains untuk keperluan harian manusia. Sementara kamus pula memberikan maksud teknologi sebagai kata nama yang merujuk kepada ilmu pengetahuan mengenai segala ilmu yang berkaitan dengan perindustrian; ilmu pengetahuan mengenai sains gunaan yang mempunyai nilai ekonomi.
            Berdasarkan takrif yang diberikan itu dapatlah disimpulkan bahawa teknologi adalah kemampuan kita menggunakan pengetahuan sains bagi mencipta sesuatu yang bermanfaat dan bernilai komersial.
Dari sudut ekonomi pula, teknologi dianggap tahap pengetahuan dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan sesuatu produk. Ia masih juga melibatkan penciptaan atau penghasilan produk atau alatan.
Dari sudut bahasa, teknologi sebenarnya berasal daripada Bahasa Greek iaitu ‘techne’ dan ‘logos’. Techne membawa maksud seni atau kraf dan logos pula merujuk kepada perkataan-perkataan yang tersusun. Bolehlah disimpulkan bahawa teknologi adalah seni melakukan sesuatu secara tersusun atau terancang. Teknologi tidak terhasil secara kebetulan atau tidak sengaja. Penciptaan alatan atau bahan adalah dirancang atas sebab-sebab tertentu. Teknologi menterjemahkan hasil penemuan sains ke dalam kehidupan masyarakat. Penemuan gelombang radio tidak membawa apa-apa erti bagi masyarakat jika radio dan sebarang alat yang mampu menerima gelombang itu tidak dicipta.
Merujuk kepada modul pula, teknologi ditakrifkan sebagai “keseluruhan kaedah yang digunakan oleh manusia bagi menyediakan objek material untuk kegunaan kehidupan dan keselesaan manusia”  Jika takrif ini diteliti lebih jauh, ia tidak jauh bezanya dengan pendapat yang diberikan oleh kebanyakan responden.
Persoalan adakah teknologi bergantung pada sains untuk berkembang boleh dilihat dari beberapa aspek yang berbeza. Teknologi bergantung pada sains untuk berkembang adalah benar kerana teknologi hanya dapat dicipta melalui pengetahuan. Kumpulan pengetahuan yang tersusun itu adalah sains. Adalah mudah dibuat kesimpulan bahawa tanpa sains, teknologi tidak mungkin berkembang.
Namun begitu, pembinaan piramid di Mesir menimbulkan persoalan dari aspek yang berbeza pula. Pembinaan piramid memerlukan teknologi yang canggih dan tepat, sedangkan perkembangan sains pada ketika itu masih terbatas. Ini mungkin dapat dijadikan bukti bahawa tanpa sains yang hebat, teknologi yang hebat juga dapat dihasilkan.
Jika dilihat peranan teknologi terhadap dunia sains pula, akan didapati sains juga bergantung pada perkembangan teknologi. Bagaimana mungkin seorang doktor menganalisis virus tanpa menggunakan mikroskop? Bagaimana mengkaji bintang tanpa menggunakan teleskop dan sebagainya. Mikroskop dan teleskop adalah hasil kemajuan teknologi dan seterusnya dapat membatu perkembangan dunia sains.
Barangkali dapatlah disimpulkan bahawa teknologi dan sains adalah saling berkait dan perlu memerlukan seperti aur dengan tebing. Tanpa teknologi perkembangan sains akan terbantut dan begitu juga sebaliknya.

           
(c) On the basis of our working definition of technology (given in Unit 2), how would you describe the role of technology in the development of our society in the last century? Give your reasons based on the framework of arguments given in the chapters 4 and 5 of the unit 2 (including the positive and negative impacts on society).

            Apakah pengaruh  teknologi terhadap pembangunan masyarakat ? Terlalu besar pengaruh  teknologi dalam pembangunan  masyarakat. Bermula dari teknologi pertanian, masyarakat sudah mula berubah. Penggunaan jentera pembajak  umpamanya memberikan impak yang besar bagi petani. Tuan-tuan tanah mengaut untung berlipat ganda kerana hasil tani yang meningkat. Tetapi pada masa yang sama berapa ramai  pula pekerja-pekerja ladang terpaksa berpindah kerana kehilangan pekerjaan.
            Masa kini dirasakan bergerak semakin pantas. Masyarakat perlukan sesuatu secara pantas juga. Jika satu masa dahulu utusan dihantar untuk menyampaikan khabar menggunakan merpati jinak, penunggang kuda, urusan pos, dan sebagainya, kini utusan yang sama boleh dihantar melalui teknologi digital. Tempoh penghantaran lebih cepat dan prosesnya juga lebih mudah. Hidup nampaknya menjadi semakin indah. Tetapi pada masa yang sama kita melahirkan masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan terpencil. Kita kurang bergantung pada masyarakat sekeliling. Kita asyik dengan dunia kita sendiri di hadapan komputer atau televisyen di rumah sendiri. Kerapuhan perhubungan dalam masyarakat juga disebabkan oleh teknologi, dan ini amat bahaya.
            Kemajuan teknologi dalam bidang ketenteraan amat menakjubkan. Teknologi menghasilkan pesawat yang bergerak lebih pantas daripada bunyi. Menghasilkan bom hidrogen yang mampu memusnahkan sebuah pulau. Pembinaan bom biologi dan sebagainya adalah buah tangan teknologi. Adakah ini semua membawa kebaikan kepada manusia? Jika ada pihak yang untung, pasti ada juga yang rugi. Mangsa Hirosima dan Nagasaki masih sengsara hingga kini. Kesan terhadap alam sekitarnya masih dapat dilihat lagi walaupun telah puluhan tahun peristiwa tersebut berlalu.
            Di sudut lain pula, teknologi menyumbang kemudahan kepada manusia. Teknologi x-ray dapat memudahkan mengesan penyakit dalam tubuh pesakit tanpa membedahnya. Ia juga digunakan dalam kerja arkeologi. Artifak dapat dikaji tanpa merosakkannya atau mengubahnya dari kedudukan asal.
            Teknologi  digital dapat memudahkan kerja penyimpanan data. Dengan adanya teknologi digital, industri fotografi menjadi lebih menarik. Industri muzik mendapat manfaat besar. Kita selaku manusia dapat hidup dalam dunia yang lebih selesa.

            Kesimpulan yang boleh dibuat terhadap peranan teknologi terhadap masyarakat adalah umpama sebilah pisau. Jika pisau tersebut digunakan untuk memotong sayur atau daging, maka kita mendapat kesan yang baik. Tetapi jika pisau tersebut digunakan untuk membunuh, maka keburukan yang kita peroleh.  Teknologi sememangnya baik, Cuma bagaimana kita menggunakan teknologi tersebut ada kalanya tidak menghasilkan perkara yang baik.
            Wallah hu alam.

















RUJUKAN
Prof. Dr. T.K. Mukherjee,  Current Issues In Science, Open University Malaysia, Kuala Lumpur, 2004
Kementerian Pelajaran Malaysia, Buku Panduan Am, Kurikulum Baru Sekolah Menengah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981.
Sofiah Hamid, Pendekatan Mengajar Sains Sekolah Menengah, (Disertasi Sarjana Pendidikan, Universiti Malaya) Utusan Publication, Kuala Lumpur, 1983.
Ishak Haron, Teknologi Semasa, Federal Publications, Petaling Jaya, 1999.
Kamus Dwibahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1999.
Harun Yahya.com.my.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan