10/23/2009

Etika dan undang-undang

Apa yang membezakan kita dengan haiwan adalah kesempurnaan hidup yang teratur. Ia diperindahkan lagi dengan etika yang menjadikan kita semakin dihormati sesama manusia dan dimuliakan oleh Maha Pencipta. Etika adalah set tingkah laku yang dipersetujui oleh masyarakat sebagai sesuatu yang baik. Namun begitu, adalah sukar untuk semua manusia mematuhi etika bagi menjadi manusia yang baik. Seringkali terdapat etika yang merugikan kita sendiri. Sebagai contoh memulangkan sejumlah wang yang ditemui di tepi jalan ( yang dianggap beretika) adalah merugikan bagi individu yang menemuinya. Membantu mangsa ragut yang berakhir dengn maut ditikam peragut, mendapat jangkitan Aids kerana membantu mangsa kemalangan berdarah dan sebagainya adalah contoh perbuatan beretika yang merugikan. Maka manusia lebih cenderung mengabaikan etika dalam hidup. Lantaran itulah undang-undang digubal dan dibentuk bagi memastikan kelangsungan peradaban kita sebagai manusia.
Apabila kita bercakap mengenai undang-undang, sudah tentu terlintas di minda bahawa ia adalah berkaitan dengan peraturan-peraturan tertentu.
Undang-undang ini sebenarnya adalah sebagai dasar atau panduan yang dapat kita gunakan dalam kehidupan, mengawal tingkah laku dalam masyarakat mahupun apabila berdepan dengan dilema etika.
Undang-undang adalah cetusan kuasa kenegaraan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan dan pada amnya kebaikan sejagat manusia.
Setelah melihat peranan undang-undang yang dibentuk, kita mungkin tertanya – tanya, mangapa dunia masih tidak seaman yang diharapkan? Undang-undang yang dibentuk melalui proses-proses yang tertentu, seharusnya mampu mengawal tindak-tanduk manusia. Di sini persoalan penguatkuasaan memainkan peranan penting. Sehebat mana pun sesuatu undang-undang, tidak akan membawa sebarang kesan jika gagal dikuat kuasakan.
Lebih malang lagi apabila terdapat undang-undang yang berjaya dikuat kuasakan tetapi dinafikan oleh kehebatan hujah seorang peguam. Pada umumnya peguam yang selalu menang bicara adalah peguam yang cukup mahal harganya. Ini akan menyebabkan orang kerdil yang didakwa gagal mandapatkan keadilan kerana ketiadaan dana. Sebaliknya orang “besar” yang melakukan kesalahan mampu membeli keputusan mahkamah. Fenomena ini bagaikan jaring yang songsang, memerangkap ikan-ikan kecil tetapi melepaskan ikan-ikan besar.
Mahkamah adalah tempat para peguam mampamerkan kehebatan berhujah tanpa mengambil kira siapa yang cuba dipertahankan. Seorang perogol yang mengaku membunuh seorang wanita yang ditemui rentung terbakar, masih dibela oleh sebarisan pengamal undang-undang.
Pada ketika sebeginilah etika seharusnya mengambil tempat. Seorang yang beretika akan malu pada dirinya sendiri untuk membela seorang pemabuk yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sehingga mengorbankan mangsa. Seorang yang beretika tidak tergamak menumbuk seorang pemimpin ternama semata-mata kerana arahan pihak atasan. Seorang yang beretika tidak akan menipu dalam pemilihan umum untuk memilih pemimpin.
Undang-undang yang kita persetujui bersama masih belum mampu menjamin keamanan dunia. Undang-undang yang dibentuk seharusnya juga melalui proses tapisan Al Quran dan Al Hadis. Dunia hanya akan aman jika penghuninya beretika dan berakhlak mulia. Undang-undang hanya bermakna apabila ada penguat kuasa, tetapi etika dan akhlak yang mulia sentiasa bermakna dan berperanan selama mana manusia percaya pada Maha Pencipta dan hari pembalasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan