5/24/2011

BILA ALAM MULA BICARA

Dengan bahasa yang bagaimanakah kesedihan ini dapat digambarkan. Bila alam berbicara dengan bahasanya yang tersendiri, siapakah yang mampu menidakkan kuasa-Nya.
Ketikan kita sedang enak berehat setelah menjamah hidangan siang, di Hulu Langat bumi berbicara dengan bahasa alam yang amat dahsyat. 25 orang terperangkap di bawah runtuhan tanah yang menggila. Hanya jeritan kebatinan dan teriak tangis yang mengiringi peristiwa tragis ini. 30 minit berlalu dalam suasana cukup pilu. Laungan takbir yang bergema sebelum senyap ditelan maut. Jerit pekik pun mati bersama nafas yang terhenti.
Anak-anak mulus yang meneruskan hidup dengan mengharapkan ihsan orang lain, terpaksa berhenti berharap. Menyerahkan nafas dan nadi kepada pemiliknya. Memulangkan setiap apa yang dipinjamkan. Melepaskan setiap apa yang digenggam termasuk harapan yang kelam.
Kehebatan alam kerana kerakusan manusia memaksa 16 insan memulangkan nafas dan nadi kepada pemiliknya. 2 orang terpaksa menyerahkan kaki yang kehilangan fungsi bagi menyelamatkan jiwa mereka, sementara 9 yang lain dihimpit trauma panjang. Inilah hadiah dari satu kerakusan.
Menatap dada akhbar, mencari cerita dan khabar... tersentak dengan coretan seorang abang yang menangis kerana gagal menarik tangan sang adik yang tersangkut di tiang khemah. Bagaimana matanya sendiri melihat seketul batu besar menghempas tepat di kepala adik kesayangan. Sambil berlari menyelamatkan nyawa, menoleh mencari adik yang hilang ditelan alam. Terbayang betapa murninya kasih sekecil berusia 11 tahun terhadap adiknya yang berusia 9 tahun.
Bagi mereka yang pergi, Al Fatehah dan doa kita kirimkan. Bagi yang kehilangan upaya, sekadar harapan dan ucapan sabar mampu kita hulurkan. Bagi yang hidup di dalam trauma, sekadar simpati yang mampu kita berikan.
Adakah cerita sedih ini akan berulang lagi atau akan hilang begitu sahaja bersama kita yang bakal terlupa akan kekuasaan-Nya.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan