10/23/2009

Etika dan undang-undang

Apa yang membezakan kita dengan haiwan adalah kesempurnaan hidup yang teratur. Ia diperindahkan lagi dengan etika yang menjadikan kita semakin dihormati sesama manusia dan dimuliakan oleh Maha Pencipta. Etika adalah set tingkah laku yang dipersetujui oleh masyarakat sebagai sesuatu yang baik. Namun begitu, adalah sukar untuk semua manusia mematuhi etika bagi menjadi manusia yang baik. Seringkali terdapat etika yang merugikan kita sendiri. Sebagai contoh memulangkan sejumlah wang yang ditemui di tepi jalan ( yang dianggap beretika) adalah merugikan bagi individu yang menemuinya. Membantu mangsa ragut yang berakhir dengn maut ditikam peragut, mendapat jangkitan Aids kerana membantu mangsa kemalangan berdarah dan sebagainya adalah contoh perbuatan beretika yang merugikan. Maka manusia lebih cenderung mengabaikan etika dalam hidup. Lantaran itulah undang-undang digubal dan dibentuk bagi memastikan kelangsungan peradaban kita sebagai manusia.
Apabila kita bercakap mengenai undang-undang, sudah tentu terlintas di minda bahawa ia adalah berkaitan dengan peraturan-peraturan tertentu.
Undang-undang ini sebenarnya adalah sebagai dasar atau panduan yang dapat kita gunakan dalam kehidupan, mengawal tingkah laku dalam masyarakat mahupun apabila berdepan dengan dilema etika.
Undang-undang adalah cetusan kuasa kenegaraan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan dan pada amnya kebaikan sejagat manusia.
Setelah melihat peranan undang-undang yang dibentuk, kita mungkin tertanya – tanya, mangapa dunia masih tidak seaman yang diharapkan? Undang-undang yang dibentuk melalui proses-proses yang tertentu, seharusnya mampu mengawal tindak-tanduk manusia. Di sini persoalan penguatkuasaan memainkan peranan penting. Sehebat mana pun sesuatu undang-undang, tidak akan membawa sebarang kesan jika gagal dikuat kuasakan.
Lebih malang lagi apabila terdapat undang-undang yang berjaya dikuat kuasakan tetapi dinafikan oleh kehebatan hujah seorang peguam. Pada umumnya peguam yang selalu menang bicara adalah peguam yang cukup mahal harganya. Ini akan menyebabkan orang kerdil yang didakwa gagal mandapatkan keadilan kerana ketiadaan dana. Sebaliknya orang “besar” yang melakukan kesalahan mampu membeli keputusan mahkamah. Fenomena ini bagaikan jaring yang songsang, memerangkap ikan-ikan kecil tetapi melepaskan ikan-ikan besar.
Mahkamah adalah tempat para peguam mampamerkan kehebatan berhujah tanpa mengambil kira siapa yang cuba dipertahankan. Seorang perogol yang mengaku membunuh seorang wanita yang ditemui rentung terbakar, masih dibela oleh sebarisan pengamal undang-undang.
Pada ketika sebeginilah etika seharusnya mengambil tempat. Seorang yang beretika akan malu pada dirinya sendiri untuk membela seorang pemabuk yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sehingga mengorbankan mangsa. Seorang yang beretika tidak tergamak menumbuk seorang pemimpin ternama semata-mata kerana arahan pihak atasan. Seorang yang beretika tidak akan menipu dalam pemilihan umum untuk memilih pemimpin.
Undang-undang yang kita persetujui bersama masih belum mampu menjamin keamanan dunia. Undang-undang yang dibentuk seharusnya juga melalui proses tapisan Al Quran dan Al Hadis. Dunia hanya akan aman jika penghuninya beretika dan berakhlak mulia. Undang-undang hanya bermakna apabila ada penguat kuasa, tetapi etika dan akhlak yang mulia sentiasa bermakna dan berperanan selama mana manusia percaya pada Maha Pencipta dan hari pembalasan.

10/19/2009

Catatan Seorang Orang

Salam untuk semua yang bergelar "orang". Sengaja ku namakan orang dan bukannya insan. Kita adalah orang yang sedang menjalani satu sesi latihan.. sedang melalui sebuah titian ujian dan sedang mendaki sebuah gunung bergelar cubaan.
Setiap detik kita diberikan dua pilihan... Kita biasa dihidangkan segelas madu dari tangan kanan dan dihulurkan racun dari tangan kiri. Kita pula diberikan kekuatan untuk memilih racun atau madu untuk membasahi tekak kita.
Selaku orang yang waras, tentu sahaja kita bakal menyambut madu dan melemparkan racun. Kita bakal memilih yang positif dan membuangkan yang negatif. Itu adalah lumrah...
Dan kita pun dengan mendabik dada mengatakan betapa bodohnya mereka yang tersalah pilih. Kita katakan betapa dungunya orang memilih dosa dan melepaskan pahala, betapa jahilnya orang yang memilih neraka dan meninggalkan syurga..
ahhh... betapa bodoh, dungu, jahil dan seribu kata nista buat mereka.. dan kita pun sering tertawa untuk mereka yang "buta"..

Pernahkah kita terfikir, tidak semua orang yang memilih racun itu sengaja memilihnya? Pernahkah kita fikirkan mengapa mereka tersasar dalam membuat keputusan mudah? Pernahkah kita membantu mereka mencari cahaya kebenaran?

Sebenarnya hidup ini tak semudah itu..
Bagi mengenal racun dan madu yang terhidang bukan sesenang memilih ikan di pinggan.
Terlalu banyak racun yang bertopengkan madu. Terlalu banyak keburukan yang menampakkan kebaikan. Terlalu banyak negatif yang kelihatan positif.

Kerana itu, dalam melalui ujian hidup ini, dalam mendaki gunung cobaan ini, dalam melintasi fasa ujian ini, kita perlukan ilmu dan iman. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang berilmu dan beriman.

Tetapi malangnya, ilmu dan iman itu tidak boleh diwarisi. Ianya perlu dicari dan dihayati.
Berusahalah mencarinya agar kita tak tersalah pilih. Berusahalah menghayatinya agar hidup kita lebih "insaniah"
Berusahalah meng"insan"kan diri dan bukan sekadar meng"orang"kan diri.

Wassalam.